Insya Allah mulai minggu hadapan akan diadakan kuliah tafsir Al-Quran yang akan disampaikan oleh Ustaz Alias Othman yang akan diadakan di Surau ASTAR pada setiap minggu.
Jom bedah Al-Quran. Di sini Bedah Al-Quran bermaksud kita Perhati, Fikir, Faham dan Hayati Dalam Al-Quran.
1. Perhati : Maksudnya melihat dengan teliti, peka atau ambil peduli.
2. Fikir : Maksudnya menggunakan akal yang bijak dalam memikirkan sesuatu.
3. Faham : Maksudnya mengetahui sesuatu itu dengan lebih mendalam.
4. Menghayati : Mengalami, merasai atau terkesan sesuatu dalam hati.
Setelah ayat-ayat Al-Quran itu memberi kesan ke dalam hati, maka meningkatlah keimanan, terbitlah rasa cinta sepenuh hati kepada Allah Ta’ala dan Rasul-Nya (saw), bercambahlah semangat jihad dan ijtihad, terbitlah motivasi diri dengan secara semulajadi berasaskan Al-Quran, terpancarlah cahaya keimanan dari tingkahlakunya (akhlak yang baik) dan pelbagai lagi kesan positif yang diperoleh.
Ini bukanlah satu-satunya kaedah dalam mentadabbur Al-Quran, tetapi ini mungkin salah satu cara yang dapat kita gunakan dalam melihat Al-Quran melalui perspektif yang berbeza dan seterusnya meningkatkan rasa cinta kepada Al-Quran dan bertambah minat dalam mendalami ayat-ayat didalamnya.
Allah SWT menyuruh kita untuk melakukan tadabbur terhadap al-Qur’an. Inilah peluang yang perlu kita rebut sempena kuliah tafsir Al-Quran . Ketika membaca al-Quran, kita mesti teliti dan amat-amatilah setiap ayat, hujjah, ilmu dan kebenaran yang terkandung di dalamnya. Jadi’ tadabbur ayat al-Qur’an adalah dengan meneliti maknanya, memikirkan yang tersurat dan tersirat, prinsip-prinsip utama, sebab dan akibat serta kemestian dan kesinambungannya. Kita perlu bimbang dengan hati yang terkunci yang tidak mahu untuk tadabbur ayat-ayat al-Qur’an. Firman Allah SWT dalam surah Muhammad ayat 24:
Maka adakah mereka sengaja tidak berusaha memahami serta memikirkan (tadabbur) isi al-Qur'an? atau telah ada di atas hati mereka kunci penutup (yang menghalangnya daripada menerima ajaran al-Qur'an)?
Oleh yang demikian, sebagaimana dituntut kepada kita memperbanyakkan membacanya, maka kita juga diperintahkan oleh Allah Azza wa Jalla untuk tadabbur memerhatikan makna isi kandungan ayat al-Qur’an yang kita baca. Dengan tadabbur, menjadikan kita lebih yakin dan menambahkan keimanan kita. Ia juga sebagai medium untuk mendapatkan ilmu yang tulen, lalu menolak dan menghumban segala keraguan, yang akhirnya membawa kepada jiwa yang tenang dan sejahtera insyaAllah.